Kenapa Speaker ikut jejak abangnya - Lim Guan Eng - Utusan Malaysia

Kenapa Speaker ikut jejak abangnya – Lim Guan Eng

LIM GUAN ENG dan AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan mengapa tidak ada usul undi percaya dan pemilihan Speaker baharu dalam Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen yang bersidang minggu depan.

Beliau juga menganggap Azhar Azizan mengikut jejak langkah abangnya, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung pandangannya terhadap usul undi percaya.

“Bahkan Yang di-Pertuan Agong, ketika dihadap oleh semua ketua parti politik di Istana Negara pada 17 Ogos, yang turut dihadiri oleh Speaker sendiri dan abangnya Peguam Negara telah bertitah bahawa usul undi percaya di Parlimen mesti diadakan  setelah Perdana Menteri yang baharu dilantik. 

“Malangnya, Peguam Negara telah memilih untuk secara terang-terangan derhaka dan melanggar titah Agong dengan menyatakan secara terbuka dalam kenyataan awam yang dikeluarkan sendiri bahawa tidak perlu undi percaya kerana ia akan menidakkan kuasa Agong untuk melantik Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, agak sukar untuk memahami logik bahawa undi percaya akan menidakkan kuasa Agong untuk melantik Perdana Menteri sedangkan baginda sendiri telah mengeluarkan titah bahawa usul undi percaya itu perlu diadakan di Parlimen.

“Azhar Azizan juga memilih untuk mengikuti jejak abangnya bukan dengan kata-kata tetapi melalui tindakan secara tidak langsung dengan tidak menasihati kerajaan baru untuk mengemukakan usul undi percaya yang dia dengar sendiri daripada titah Agong,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN