PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendedahkan bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi yang berumur antara 15 hingga 29 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih daripada 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun, dengan purata 1 kejadian bunuh diri setiap 40 saat.
Katanya, bagi tahun 2019, satu dalam 100 kematian bersamaan 1.3 peratus adalah disebabkan bunuh diri, mankala bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan seramai 135 ahli keluarga atau rakan-rakan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.
“Situasi pandemik Covid-19 di seluruh dunia memberikan impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu dan masyarakat Malaysia tidak terkecuali.
“Faktor sosial menyebabkan stres terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai juga boleh memberi kesan kepada sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan,” katanya dalam ucapannya sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia secara maya hari ini.
Noor Hisham berkata, sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.
Katanya, tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri, rancangan bunuh diri, cubaan bunuh diri dan kematian akibat tindakan bunuh diri.
“Malah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, terdapat peningkatan dalam kematian akibat kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia pada tahun lalu iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019.
“Bagi tempoh tahun ini sehingga Julai lalu, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan PDRM berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengambil tindakan melibatkan beberapa inisiatif bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri antaranya pengukuhan pelaksanaan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan akses terhadap liputan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi membantu individu yang memerlukan sokongan semasa pandemik.
“Selain itu, pertambahan pegawai psikologi kaunseling di peringkat daerah dan klinik kesihatan bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan, serta penyalahgunaan substans serta sokongan terhadap usaha Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri di mana usaha bagi Pindaan atau pemansuhan Seksyen 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah.
“Pelaksanaan dekriminalisasi cubaan bunuh diri akan menjadi anjakan dalam usaha pencegahan bunuh diri di Malaysia sekali gus akan menggalakkan mereka yang terkesan untuk tampil dan mendapatkan bantuan seawal mungkin dan Advokasi Kempen Let’s Talk Minda Sihat kepada kumpulan sasar menerusi dan masyarakat secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu termasuk melibatkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan,” katanya.
Tambahnya, latihan secara berterusan kepada ‘first-line responders’ seperti anggota kesihatan, anggota polis, dan anggota bomba bagi meningkatkan kemahiran pengendalian tingkah laku bunuh diri dan mempergiatkan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan tiada golongan tercicir dalam usaha whole-of-government dan whole-of-society untuk menangani isu tingkah laku bunuh diri.