PADANG BESAR: Cadangan menghadkan umur ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada mereka yang berusia di bawah 65 tahun sahaja dilihat tidak sesuai memandangkan kemampuan seseorang pemimpin itu bukan bergantung kepada faktor umur dalam memberi perkhidmatan terbaik.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, umur merupakan satu angka sahaja dan kalau seseorang pemimpin itu masih sihat serta boleh berkhidmat dengan baik tidak wajar dikenakan sekatan terhadap mereka untuk bertugas.
Soal Mohd. Redzuan, mengapa umur perlu dijadikan ukuran untuk menidakkan kepakaran dan pengalaman seseorang pemimpin tersebut.
“Kalau umur 70 tahun masih sihat, kenapa nak jadikan umur sebagai kaedah untuk menidakkan kepakaran seseorang pemimpin itu. Saya rasa cadangan itu (hadkan umur) tidak perlulah hendak dibahaskan.
“Kalau umur 90 tahun sekali pun, boleh menjadi Perdana Menteri yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat serta membangunkan negara ke tahap lebih tinggi, mengapa perlu disekat disebabkan ukuran umur seseorang itu.
“Saya lihat faktor umur itu bukan menjadi sebarang masalah untuk berkhidmat dan terus memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak syarikat Eco Green Global Sdn. Bhd di Chuping, Padang Besar, di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat gesaan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar ahli Parlimen dan ADUN dihadkan kepada mereka yang berusia di bawah 65 tahun sahaja.
Manakala bagi pemimpin-pemimpin politik lama, pengalaman dan peranan mereka boleh digunakan di peringkat parti atau sebagai penasihat kepada kerajaaan bagi mengimbangkan muka baharu dan lama.
Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan yang juga Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) berkata, dalam masa sama, pemimpin-pemimpin muda juga perlu ditonjolkan seterusnya mengimbangi antara pemimpin berpengalaman dan muka baharu.
“Kita perlu mengetuai generasi muda untuk melihat orang muda ini melibatkan diri khususnya dalam suasana yang kita hadapi hari ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Redzuan menasihatkan agar peluang diberikan kepada kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab seperti diamanahkan oleh rakyat.
Katanya, sebaik-baiknya pada masa ini, kuranglah berpolitik sebaliknya fokus ke arah usaha memerangi Covid-19 dan membangunkan ekonomi.
“Saya harap barisan Kabinet melaksanakan tanggungjawab dan fokus dalam memerangi Covid-19 dan bangunkan semula ekonomi. Barisan Kabinet sekarang diharap ada penambahbaikan jika dahulu ada kekurangan.
“Dalam usaha memerangi Covid-19 dan menguruskan ekonomi, diharap tidak ada sebarang usaha ke arah undi percaya atau tidak percaya dilakukan.
“Kalau ada unsur-unsur begini (undi tidak percaya) dalam negara demokrasi ini, terpulang kepada wakil-wakil rakyat untuk membawa usul di Dewan Rakyat. Kalau Yang di-Pertua Dewan Rakyat membenarkan usul tersebut, itu terpulanglah,” katanya. – UTUSAN

								
											








