PETALING JAYA: Kelonggaran industri kreatif kembali bergiat aktif memberi peluang kepada rakyat melepaskan tekanan dan berhibur bersama keluarga.
Malah, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha berkata, kebanyakan aktiviti industri kreatif berpusat di bandar utama yang sebelum ini suram kembali ‘meriah’ sekali gus memberi peluang penggiat meraih pendapatan.
Selain itu, katanya, kandungan televisyen yang menyiarkan program sama berulang-ulang kali dapat diperbaiki apabila aktiviti penggambaran dibenarkan.
“Segala bantuan dana pemulihan ekonomi daripada kerajaan dapat dimanfaat dan dilaksanakan.
“(PFM) menyambut baik dan amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap warga seni dan membangunkan semula ekonomi industri kreatif yang telah teruk terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, semua penggiat industri kreatif yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan untuk kembali bergiat mulai 9 September ini.
Katanya, kebenaran itu membabitkan beberapa aktiviti termasuk pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung. – UTUSAN ONLINE