KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memantau keadaan wabak di beberapa negara luar dan mengetatkan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi mencegah penularan jangkitan varian baharu Covid-19 dikenali sebagai ‘Mu’.
Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, negara-negara yang terlibat termasuk dari Colombia, Jepun, India, Hong Kong dan Korea Selatan untuk mengelakkan negara berdepan dengan gelombang ketiga wabak berkenaan.
“Kita tidak boleh membiarkan varian ini memusnahkan usaha negara dalam memerangi wabak Covid-19. Oleh itu, saya meminta seluruh rakyat yang belum menerima vaksin untuk mengambil suntikan vaksinasi seceoat mungkin.
“Vaksinasi adaah cara yang paling berkesan untuk melawan virus Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan memantau perkembangan varian baharu, ‘Mu’, yang pertama kali dikenal pasti di Colombia, Januari lalu.
‘Mu’ atau nama saintifiknya B.1.621 diklasifikasikan sebagai Variant of Interest (VOI) oleh WHO yang mengandungi mutasi menunjukkan risiko ketahanan terhadap vaksin dan menekankan keperluan kajian lebih lanjut bagi memahaminya dengan lebih baik.
Baru-baru ini, di Labuan, dua kes import Jenis A Covid-19 baharu yang dikesan pada 7 September lalu sedang dianalisis sama ada berkait dengan varian yang membimbangkan (VOC).
Jenis A Covid-19 merujuk kepada kes import membabitkan warga asing manakala Jenis B Covid-19 membabitkan kes dari luar Labuan tetapi dari dalam Malaysia.
Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari berkata, dua kes berkenaan membabitkan kru kapal asing yang pelabuhan terakhir mereka adalah negara di kawasan varian ‘Mu’ dan Lambda Covid-19 dikesan.
Setakat ini, beberapa VOI dikesan di Malaysia antaranya Varian Eta (B.1.525) dan Varian Kappa (B.1.617.1) manakala VOC turut dilaporkan di negara ini membabitkan Varian Beta (B.1.351), Varian Alpha (B.1.1.7) dan Varian Delta (B.1.617.2). – UTUSAN ONLINE