Jumlah tinggi warga WP terima vaksin cetus persoalan

Jumlah tinggi warga WP terima vaksin cetus persoalan

JALALUDDIN Alias meninjau gerak kerja Jawatankuasa Koordinasi dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan di Putrajaya. – IHSAN FB JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meluahkan kehairanan kerana jumlah vaksinasi lengkap di tiga wilayah berkenaan sebagai luar biasa.

Bagaimanapun ujarnya, kadar peratusan yang amat tinggi itu masih belum melayakkan Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 15 Jun lalu.

Ironinya kata beliau, jika dilihat data terkini, liputan vaksinasi bagi populasi dewasa lengkap dua dos di Kuala Lumpur sudah mencecah 162.8 peratus manakala Putrajaya pula 173 peratus yang mana adar itu bukan sahaja melepasi 100 peratus, bahkan lebih tinggi berbanding Labuan hanya 94 peratus tetapi sudah memasuki Fasa 3 pada 4 Ogos dan kemudian Fasa 4 pada 24 Ogos.

“Justeru, saya secara peribadi ingin menggesa pihak Kementerian Kesihatan dapat keluar rekod terperinci status vaksinasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” kata beliau menerusi kenyataan.

Data diuruskan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin itu amat perlu bagi merungkai sebab kenapa dua wilayah itu masih kekal Fasa 1.

Dalam nada kehairanan, Jalaluddin menyifatkan angka itu kemungkinan melibatkan pelbagai kelompok termasuk penduduk tinggal di luar namun menerima vaksin di Wilayah Persekutuan.

Peratusan yang amat besar itu tambah beliau, kebarangkalian turut disebabkan oleh ramai pekerja warga asing mendapat vaksin meskipun tidak beralamat tetap di dua wilayah tersebut.

“Jika Kuala Lumpur dan Putrajaya mahu beralih ke Fasa 2, data sebenar sudah divaksin dua dos ini sangat penting. Saya telah minta pihak berkenaan untuk buat semakan balik,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan ada membincangkan persediaan peralihan fasa antaranya cadangan agar pesakit golongan B40 ditempatkan di Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 (PKRC) walaupun kes mereka cuma tahap 1 dan 2.

“Majoriti tidak sesuai dikuarantin kendiri di rumah kerana tinggal di flat awam yang sempit dan kurang bilik namun keputusan masih tertakluk Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Jalaluddin turut meninjau bilik gerakan dan persediaan bakul makanan yang diuruskan oleh jawatankuasa itu di sini dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN