Jumlah penganggur di Terengganu melonjak kepada 20,000 orang - Utusan Malaysia

Jumlah penganggur di Terengganu melonjak kepada 20,000 orang

TENGKU HASSAN TENGKU OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kadar pengangguran di Terengganu melonjak kepada 20,000 orang sepanjang suku kedua tahun ini berbanding 18,300 orang, pada suku pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Tengku Hassan Tengku Omar berkata, peningkatan sebanyak 1,700 itu dipercayai akibat kehilangan pekerjaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di samping peluang pekerjaan yang terhad selepas menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, kira-kira 78 peratus daripada golongan penganggur di Terengganu merupakan belia yang berusia bawah 40 tahun.

“Daripada jumlah itu, ada juga golongan yang dahulunya dalam kategori M40 tetapi bertukar status kepada B40 akibat kehilangan pekerjaan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tengku Hassan berkata, sepanjang tahun lalu seramai 19,800 rakyat negeri ini dikesan menganggur.

Dalam pada itu, katanya, menerusi inisiatif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC), sejumlah 4,811 penduduk negeri ini terlibat dalam program penempatan pekerjaan sehingga 31 Julai lalu dengan 3,158 daripadanya merupakan golongan belia.

“Bagi tahun 2020 pula, seramai 3,487 individu terlibat dalam program penempatan pekerjaan berkenaan.

“Sebahagian individu yang mengganggur turut diberi kemahiran baharu bagi membolehkan mereka menyara hidup dengan menawarkan perkhidmatan di kawasan masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN