ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor akan terkesan sekiranya Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) masih mengenakan syarat ketat terhadap para pesertanya seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri menyambut baik program tersebut diteruskan, namun berharap syarat yang dikenakan dapat dikaji semula sebelum ia dilaksanakan.
Katanya, ini kerana program MM2H adalah salah satu kekuatan yang dapat memberi faedah serta manfaat kepada negeri tersebut.
“Kerajaan negeri berharap agar MM2H ini bukan hanya dikaji semula tetapi segera dilaksanakan. Dengan apa yang diumumkan, Johor amat terkesan sekiranya Kementerian Dalam Negeri (KDN) enggan menyemak semula syarat ketat MM2H.
“Kita melihat perlunya syarat-syarat peserta MM2H ini dilonggarkan mengikut syarat-syarat lama program itu dan bukannya mengikut peraturan baharu yang ditetapkan,” katanya selepas menyerahkan 46 unit rumah kepada penduduk untuk projek penempatan semula perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2, di sini hari ini.
Kelmarin, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa Baginda terhadap KDN kerana enggan menyemak semula syarat ketat MM2H yang ditetapkan.
Baginda bertitah akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.
Hasni berkata, program MM2H itu memberi impak kepada kerajaan negeri memandangkan kedudukan Johor yang bersebelahan dengan Singapura.
“Kebimbangan kerajaan negeri dalam soal ini telah disuarakan ketika menerima kunjungan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini,” ujarnya.
Mengikut syarat baharu, peserta perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini, pemilikan akaun simpanan RM1 juta selain peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.
Selain itu, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan. – UTUSAN ONLINE