JOHOR BAHRU: Johor bakal menerima sebanyak 1.9 juta dos bekalan vaksin Covid-19 sepanjang September ini bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam satu kenyataan ringkas yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda.
“Sukacita saya ingin maklumkan bahawa Johor akan menerima sebanyak 1.9 juta dos vaksin Covid-19 pada September ini.
“Daripada jumlah dos vaksin ini, sebanyak 1.76 juta adalah vaksin Pfizer,” titahnya.
Baginda turut bertitah pembekalan vaksin berkenaan dijangka akan dapat membolehkan seluruh rakyat negeri ini yang layak mendapat suntikan vaksinasi bagi mencegah penularan Covid-19.
“Dengan jumlah dos ini saya yakin seluruh Bangsa Johor akan menerima vaksin tidak lama lagi. Bersama-sama kita doakan kejayaan program vaksinasi Covid-19,” titahnya.
Kelmarin, Tunku Ismail mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu serta beberapa individu lain bagi membincangkan berkenaan pelaksanaan vaksin di negeri ini.
Perbincangan itu turut meliputi isu pembekalan vaksin oleh kerajaan pusat serta pelaksanaan Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 (IPA-C) oleh kerajaan negeri.