ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri melalui Invest Johor dalam proses akhir menerbitkan Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2020-2030 yang akan menjadi rujukan tambahan selain daripada Pelan Pembangunan Mampan Ekonomi Negeri Johor (2020-2030).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, pelan tambahan strategik itu dapat membantu usaha penambahbaikan halatuju dan strategi dalam menarik aktiviti pelaburan berkualiti tinggi.
Menurutnya, limpahan pelaburan dibawa masuk dapat memberi manfaat kepada pembangunan modal insan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi Johor.
“Invest Johor dan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) giat melaksanakan pelbagai inisiatif mengekalkan pelaburan sedia ada selain mempergiatkan usaha memastikan Johor menjadi destinasi pelaburan utama.
“Setakat 1 September, nilai kumulatif pelaburan yang berpotensi dibawa masuk ke Johor pada tahun ini dijangka mencecah nilai RM5.521 billion yang hanya menunggu masa untuk memeterai dokumen perjanjian,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di Kota Iskandar hari ini.
Sementara itu katanya, menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 27 Ogos lalu, terdapat sebanyak 12,000 kekosongan pekerjaan yang ditawarkan di seluruh negeri ini.
“Berdasarkan rekod, bilangan individu di Johor yang hilang pekerjaan dalam tempoh antara Januari hingga 13 Ogos lalu adalah seramai 3,915 orang dimana daripada jumlah tersebut seramai 2,122 adalah lelaki dan 1,793 adalah perempuan.
“Industri pembuatan merupakan sektor yang menyumbang jumlah kehilangan pekerjaan yang tertinggi iaitu melibatkan seramai 1,278 orang pekerja,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, penduduk negeri ini yang masih berusaha dan sedang mencari pekerjaan digesa agar peka dan merebut peluang yang telah tersedia oleh pihak majikan dalam pelbagai sektor. – UTUSAN