KUALA LANGAT: Solat Subuh di Masjid Jenjarom di sini mulai meriah apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan 50 orang termasuk ahli kariah masjid hadir untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah.
Jemaah yang hadir dilihat tiba dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri serta memakai pelitup muka.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kebajikan Masjid Jenjarom, Mohd.Muslimen Omar, pihaknya melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memberi kebenaran tersebut.
“Seramai 50 orang ahli kariah termasuk Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid Jenjarom hadir untuk menunaikan solat berjemaah pagi ini.
“Prosedur operasi standard (SOP) seperti lengkap dua dos vaksin Covid-19, memeriksa suhu badan, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal perlu dipatuhi ahli kariah yang hadir,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas solat berjemaah.
Khamis lepas, JAIS melalui satu pekeliling menyatakan, seramai 100 jemaah dibenarkan hadir ke masjid di seluruh Selangor bagi menunaikan solat Jumaat susulan penurunan kes harian jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan sekitar 4,000 sehari dan ke bawah.
Malah, bagi solat fardu lima waktu, seramai 50 jemaah dibenarkan hadir ke masjid dan surau pada satu-satu masa dan semua jumlah kehadiran itu adalah termasuk pegawai pentadbir serta ahli jawatan kuasa.
Bagaimanapun, bagi surau yang dibenar menunaikan solat Jumaat dihadkan kepada 50 orang jemaah sahaja.
Pada 1 Jun lalu, kerajaan negeri menetapkan hanya enam jemaah dibenarkan bagi solat Jumaat dan fardu di semua masjid, surau dan musolla seluruh negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.
Mengulas lanjut Muslimen berkata, pihaknya berharap agar keadaan tersebut berterusan bagi memastikan masjid terus diimarahkan.
“Solat Subuh pagi ini ahli kariah hadir terus tanpa perlu mendaftar seperti solat Jumaat yang perlu dikawal jumlahnya,” katanya.










