ALOR SETAR: Kawalan di dua zon mukim Kuala Kedah di sini, yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 19 September ini lebih ketat berbanding PKPD Kota Setar, Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kawalan dan pemeriksaan dilakukan lebih ketat berikutan jumlah jangkitan kes Covid-19 dilaporkan tinggi di zon terlibat.
Katanya, tugasan tersebut melibatkan laluan keluar dan masuk di kawasan terlibat dan ‘snap-check’ pula dilakukan di jalan darat serta laut sepanjang tempoh dua minggu itu.
“Dua sekatan jalan raya (SJR) bagi mengawal keluar dan masuk dilaksanakan di Jalan Kuala Kedah dan Kubang Rotan manakala lapan jalan ditutup,” katanya dalam sidang akbar di SJR di Kuala Kedah di sini semalam.
Menurut Ahmad Shukri, antara jalan yang ditutup ialah Jalan Kampung Baru, Jalan Kampung Layang Utara, persimpangan Jalan Kampung Padang, Jalan Kota Marina, Jalan Kampung Tepi Laut, Jalan Taman Bahtera, Lorong Mayat dan Jalan Kubang Rotan.
Pada masa sama, katanya, pengawasan di laut pula dikendalikan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Nelayan yang ingin melakukan aktiviti menangkap ikan di laut dibenarkan namun tidak bagi mereka yang memakai gelang merah jambu,” ujarnya.
Selain itu, beliau menambah, individu yang mempunyai janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera dibenarkan keluar dari kawasan PKPD.
Katanya, mereka yang ada kes-kes kecemasan untuk menerima rawatan di hospital juga dibenarkan dengan kelulusan polis.
“Namun bagi yang ingin menerima vaksin secara ‘walk-in’ tidak dibenarkan kerana tiada sebarang dokumen yang mengesahkannya,” ujarnya.
Tegasnya, tindakan kompaun akan dikeluarkan kepada individu yang degil dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh itu. – UTUSAN ONLINE