SEREMBAN: Jangkitan Covid-19 di premis perindustrian di Negeri Sembilan, semakin berkurangan disumbang kejayaan program pemberian vaksin kepada hampir semua pekerja industri.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pekerja juga didapati mengurangkan jangkitan.
“Sebanyak 61,105 pekerja sektor industri di Negeri Sembilan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (Pikas) yang dibuka di negeri ini.
“Daripada jumlah pekerja tersebut sebanyak 53,961 orang melengkapkan suntikan vaksin dos kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohamad Rafie, PPV Pikas d’Tempat Country Club, Sendayan yang beroperasi sejak 5 Julai lalu sehingga Ahad lalu telah memberikan sebanyak 41,106 suntikan dos pertama dan 38,546 suntikan dos kedua kepada pekerja industri di negeri ini.
“PPV Pikas D’Cattleya, Senawang yang mula beroperasi pada 2 Ogos pula telah memberi suntikan dos pertama kepada 19,999 pekerja dengan 15,415 telah mendapat suntikan dos kes kedua setakat 5 petang semalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE