GEORGETOWN: Golongan agamawan termasuk pihak berkuasa agama Islam tidak sewajarnya memandang hina kepada usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat dan golongan sepertinya.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Nor berkata, sebaliknya masyarakat perlu bersimpati dan cuba membantu membimbing serta menasihati golongan tersebut.
“Mungkin mereka sukar menerima nasihat kerana sudah terbiasa berada di jalan yang salah, namun inilah kewajipan kita untuk membantu sesama Islam.
“Pengalaman mengajar kita sekeras mana hati seseorang itu, namun jika selalu dinasihati secara jujur maka dengan izin Allah SWT, hati yang keras tidak mustahil akan kembali lunak dan bersedia menerima nasihat demi kebaikan diri sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini Muhammad Sajjad dilaporkan ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.
Ketika ini, dilaporkan Muhammad Sajjad menunggu kebenaran untuk berpindah ke negara ketiga iaitu Australia.
Menurut Wan Salim, Muhammad Sajjad seharusnya menginsafi dia tersalah memilih gaya hidup yang menyimpang daripada syariat Allah SWT dan hukum tabi’i dan memilih untuk terus berada di dalam khayalan dan kepura-puraan.
“Sepatutnya, dia akur dengan ketetapan Ilahi yang mencipta dirinya sebagai seorang lelaki, bukan perempuan dan bukan khunsa.
“Masalah jantina bukan pilihan kita tetapi ketetapan Sang Pencipta yang Maha Mengetahui dan Bijaksana, justeru setiap manusia hendaklah akur dan menerima apa yang ditetapkan Tuhan untuk diri masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu katanya, jika dilihat daripada perspektif Islam tiada manusia yang bersih daripada dosa dan tiada manusia yang tidak melakukan kesalahan kecuali para rasul dan nabi.
“Allah SWT mengetahui manusia adalah makhluk yang lemah dan sentiasa terdedah kepada dosa, justeru sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-hamba-Nya yang ingin membersihkan diri dan kembali ke jalan yang diredai-Nya.
“Cuma perbezaannya, ada manusia yang cepat insaf, lantas kembali ke pangkal jalan setelah menyedari yang dirinya tersasar daripada syariat yang ditetapkan di dalam agama,” katanya. – UTUSAN ONLINE