Jalani ujian saringan kendiri 30 minit sebelum akad nikah  - Utusan Malaysia

Jalani ujian saringan kendiri 30 minit sebelum akad nikah 

MOHD. ZAKUAN ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP)  menetapkan pasangan yang bakal menjalankan akad nikah di Pejabat Agama Daerah (PAD) perlu menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri 30 minit sebelum majlis berlangsung, berkuat kuasa hari ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, hanya pasangan yang didapati negatif Covid-19 dibenarkan melangsungkan akad nikah dan pada masa ini ia hanya dibenarkan dijalankan di PAD.

“Jumlah pasangan pengantin yang diterima untuk diakad nikahkan tidak melebihi 10 orang setiap hari bagi setiap PAD.

“Bagi pasangan pengantin yang tidak mendapat kebenaran untuk merentas daerah atau negeri, mereka boleh melantik dan mewakilkan seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua pihak perlu mematuhi tarikh dan masa yang ditetapkan dan PAD boleh membatalkan majlis sekiranya ada yang gagal hadir pada masa yang ditetapkan.

Jelasnya, kehadiran bagi majlis akad nikah pula dihadkan kepada tujuh orang  termasuk pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi, ayah atau ibu pengantin lelaki dan jurugambar.

“Tempoh masa pelaksanaan akad nikah juga perlulah tidak melebihi 30 minit,” katanya.

Dalam pada itu katanya, semua permohonan perkahwinan luar negeri diterima dan hanya permohonan yang lengkap diproses.

“Selain itu, urusan permohonan pendaftaran perceraian dan rujuk juga diterima.

“Pasangan yang ingin melafazkan rujuk hendaklah membawa bersama  surat perintah pengesahan perceraian dari mahkamah,” katanya

Bagaimanapun tambahnya, semua kursus praperkahwinan Islam secara bersemuka ditangguhkan dan temuduga khas menggantikan kursus praperkahwinan secara dalam talian dibuka sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa dua.

“Pendaftaran hendaklah dibuat menerusi laman sesawang emunakahat.penang.gov.my.,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN