PUTRAJAYA: Ketika ramai warga kota berehat santai di rumah, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias ‘turun padang’ menyelamatkan ramai gelandangan.
Bersama-sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah, beliau hadir menyertai Operasi Menyelamatkan Gelandangan 4.0 selama dua jam sekitar ibu negara, awal pagi tadi.
Inisiatif berterusan itu susulan aduan awam yang diterima Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai kemunculan gelandangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Kita perlu banteras isu ini kerana kementerian mahu mereka ini terima kehidupan lebih baik dan dalam masa yang sama, dapat baiki imej bandar raya kita,” katanya menerusi kenyataan.
Program berkala yang diselaraskan bersama sembilan agensi itu bermula 11 malam dari Bilik Gerakan Jabatan Penguatkuasaan DBKL menuju ke beberapa ‘titik panas’ sekitar ibu kota.
Dalam tiga operasi sebelum ini ujarnya, seramai 382 gelandangan diselamatkan, manakala lewat malam tadi pula, sejumlah 100 individu yang dibawa ke Pusat Khidmat Gelandangan.
Hanya 50 orang daripada mereka didapati tiada bergejala, sihat dan waras yang dihantar ke Pusat Transformasi Anjung Kelana bagi menjalani program pemulihan tiga bulan.
“Baki yang positif Covid-19, pihak DBKL bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan untuk mereka ini dikuarantin di Pusat Penilaian Covid-19 di Titiwangsa,” jelasnya.
Turut serta ialah pihak polis, imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Persatuan Bulan Sabit Merah dan agensi berkaitan.
Jalaluddin berkata, setakat akhir bulan lalu, seramai 55 gelandangan sudah ditempatkan di Anjung Singgah, manakala 172 orang berada di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.
Beliau berharap pertubuhan bukan kerajaan menukar kaedah bantuan dengan membawa gelandangan ke tempat lebih baik dan tidak lagi sekadar memberi makan minum.
“Jika nak bagi makan, sila beri di lokasi rasmi disediakan kerajaan kerana kita mahu mereka ada kehidupan sejahtera, bukan habis sisa baki usia dalam keadaan sedih melarat,” tegasnya.