KUANTAN: Isu berkaitan pembinaan taman tema di Cameron Highlands tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Ecxo kerajaan negeri, setakat ini.
Demikian ujar Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika diminta mengulas tentang bantahan dikemukakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu kerajaan Pahang menolak cadangan membina taman tema di daerah berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak pernah menerima permohonan daripada mana-mana syarikat yang ingin membina taman tema itu.
“(Perkara itu) tidak betul. Tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri pun. Perkara tersebut boleh rujuk dan tanya Setiausaha Kerajaan negeri, tanya juga Exco kerajaan negeri yang lain, tidak pernah dibincangkan dan tidak ada permohonan pun.
“Bagus juga bila ada NGO bantah, ada peluang untuk kita jawab kalau tidak, kita pun tidak tahu. Tapi hakikatnya, perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam (mesyuarat) Exco, tidak ada permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau proses vaksinasi untuk pelajar sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini hari ini.
Terdahulu, terdapat laporan media berkaitan cadangan membina taman tema di lokasi peranginan bertemakan ski yang bernilai RM100 juta di kawasan seluas 24.28 hektar di Cameron Highlands telah mendapat bantahan berikutan kesannya terhadap alam sekitar.
Berdasarkan laporan dikeluarkan awal Ogos lalu, pemaju taman tema iaitu Sim Leisure Group bercadang membina sebuah taman tema bernama “ESCAPE Cameron Highlands”.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, status tapak cadangan pembinaan taman tema itu adalah tanah milik persendirian.
“Walaupun itu tanah persendirian, tidak bermakna mereka (pemilik) boleh membuka taman tema, selagi tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri
“Mereka tetap kena submit (hantar) permohonan, tanah persendirian tidak bermakna mereka boleh bina kilang senjata api, kilang bom sesuka hati. Even (kalau) tanah sendiri pun, jika ada kayu balak, dia tetap kena dapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri sebelum mengeluarkan hasil (kayu balak) itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE