Isu kerakyatan automatik, kerajaan teruskan rayuan - Utusan Malaysia

Isu kerakyatan automatik, kerajaan teruskan rayuan

HAMZAH Zainudin bercakap dalam sidang akhbar penguatkuasaan dan pematuhan SOP Covid-19 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju  meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu bagi mengelak kerajaan daripada dikenakan tindakan menghina mahkamah dan pada masa sama, mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan dua keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak yang lahir di luar negara hasil perkahwinan wanita warganegara Malaysia dengan pasangan warganegara asing.

“Terdapat dua keputusan mahkamah yang berbeza, iaitu kes Suriani Kempe dan Enam Lagi lawan Kerajaan Malaysia serta kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed lawan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan dua Lagi mengenai pentafsiran ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Bahagian II seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang diputuskan pada 21 Mei lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyebelahi kerajaan, manakala bagi kes Suriani Kempe dan Enam Lagi, tidak menyebelahi kerajaan”, katanya dalam sidang media  penguatkuasaan dan pematuhan SOP Covid-19 di Kementeriannya, hari ini.

Hamzah berkata, bagi kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, penama itu sudah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan akan dibicarakan pada November ini.

“Selepas mengambil kira keputusan penghakiman yang berbeza dalam kedua-dua kes terbabit dan prosiding mahkamah dalam kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang masih berjalan di peringkat Mahkamah Rayuan, Jemaah Menteri bersetuju untuk meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Suriani Kempe dan Enam Lagi.

“Jemaah Menteri sudah meminta Peguam Negara untuk membawa perkara berkaitan dengan isu kewarganegaraan terbabit kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong dalam waktu terdekat,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN