BERA: Semua individu yang berkelayakan tidak akan terkecuali menerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC) termasuk mereka yang sedang dalam proses rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah berkata, bayaran BKC kepada individu terbabit akan dibuat selepas keputusan rayuan kelulusan BPN diperolehi yang dijangka pada bulan ini.
“Jika layak mereka juga akan menerima BKC dan sekiranya tidak layak BPN, kita akan gunakan kaedah silang data untuk semak dengan data percukaian dan sekiranya memenuhi syarat M40 mereka juga tidak akan terkecuali menerima bantuan ini.
“Apa pun kita mesti bantu rakyat terkesan tetapi apa yang kita buat mesti mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya selepas menyaksikan program penyampaian BKC dan sesi libat urus virtual oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi aplikasi google meet di Bank Simpanan Nasional (BSN) Triang, di sini hari ini.
Mohd. Shahar berkata, BKC yang melibatkan peruntukan RM4.6 bilion akan memanfaatkan kira-kira 10 juta isi rumah yang terjejas akibat Covid-19.
Menurutnya, penerima bantuan BKC yang terdiri daripada golongan B40, M40 dan golongan bujang akan menerimanya dalam tiga fasa bermula bulan ini, November dan Disember ini.
“Apa yang penting untuk fasa pertama telah memanfaatkan 4.4 juta isi rumah, 1.1 juta warga emas dan 4.5 juta individu bujang yang akan dibayar secara berperingkat mulai hari ini,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, secara keseluruhan peruntukan berjumlah RM17.1 bilion telah disediakan kerajaan tahun ini bagi melaksanakan BPN 2.0, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Tambahan, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).
“Mengambil kira pembayaran BPN 2.0, BPR, BPR Tambahan dan BKC, bantuan tunai yang disediakan sehingga kini kepada hampir 10 juta penerima adalah sebanyak RM12.3 bilion manakala jangkaan baki pembayaran BPR (fasa 3 dan rayuan), BKC (Fasa 2 dan 3) dan BKP pada September hingga Disember 2021 dianggarkan berjumlah RM4.8 bilion,” ujarnya. – UTUSAN