Indeks jenayah Pahang turun, kes rogol dan tipu tinggi - Utusan Malaysia

Indeks jenayah Pahang turun, kes rogol dan tipu tinggi

RAMLI Mohamed Yoosuf bertanyakan sesuatu kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pekan, Nurul Fea Salah Huddin, 14, di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri , indeks jenayah di Pahang tahun ini  mencatatkan penurunan sebanyak 1,494 kes berbanding 1,676 kes direkodkan tahun lalu.

Statistik itu dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bagi tempoh 1 Januari hingga 24 September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hampir keseluruhan indeks jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan kecuali membabitkan kes rogol, kecurian dalam bangunan dan kes jenayah komersial yang masih menunjukkan peningkatan.

“Walaupun jumlah kes dilaporkan ke JSJ menunjukkan penurunan namun kes rogol terutama membabitkan remaja bawah umur mencatatkan peningkatan, begitu juga kes kecurian dalam bangunan.

“Dalam tempoh itu, JSJ Pahang berjaya menyelesaikan sebanyak 66.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan, tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Tiga dan Pencegahan Jenayah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, kes jenayah komersial yang melibatkan penipuan atau scam, jenayah siber dan kes pemberi pinjaman wang juga menunjukkan peningkatan ketara pada tahun ini.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang mencatatkan 1,258 kes dilaporkan tahun ini berbanding hanya 970 kes sahaja dalam tempoh sama tahun lalu.

“Ini menunjukkan kes tersebut imeningkat 288 kes yang membabitkan penipuan ke atas mangsa seperti pesara, wanita dan orang perseorangan,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, terdapat juga kes yang menunjukkan penurunan seperti kes jenayah narkotik iaitu hanya 4,408 kes dilaporkan tahun ini berbanding 5,792 kes tahun lalu.

“Tangkapan kes melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah berjaya diselesaikan iaitu sebanyak 5,397 kes.

“Antara lain, kes kemalangan termasuk kemalangan maut juga menunjukkan penurunan pada tahun ini iaitu sebanyak 9,940 kes dilaporkan berbanding tahun lepas, sebanyak 11,982 kes.

“Daripada jumlah itu, kes kemalangan maut dilaporkan tahun ini adalah sebanyak 206 kes membabitkan 220 kematian berbanding sebanyak  246 kes tahun lalu dengan 280 kematian,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, kekangan pergerakan dan kaedah mobiliti yang terhad akibat pandemik Covid-19 menjadi antara faktor penurunan kes terutama dadah serta kemalangan jalan raya tahun ini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya