PETALING JAYA: Sebuah hotel lama yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ bagi menjalankan aktiviti pelacuran melibatkan warga asing di Pudu dekat sini diserbu Jabatan Imigresen.
Operasi yang dilaksanakan oleh sepasukan 20 orang pegawai imigresen dari Unit Operasi Khas (QRT) Putrajaya turut melakukan serbuan di sekitar Puchong serta Cyberjaya, Selangor.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi operasi pertama, hotel berkenaan telah berulang kali diserbu agensi penguatkuasaan tetapi masih didapati menjalankan aktiviti tidak bermoral melibatkan warga asing.
Malah kata beliau, ketika serbuan terdapat cubaan melarikan diri oleh warga asing di premis itu namun usaha meloloskan diri ini berjaya digagalkan.
“Sebanyak 63 orang individu diperiksa di premis ini dan hasilnya seramai 12 orang warga asing ditahan yang terdiri daripada lima orang wanita warganegara Vietnam dan tujuh lelaki warganegara Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, operasi seterusnya dijalankan di kawasan Puchong, Selangor yang mana pemeriksaan ke atas dua kediaman dilakukan pada pukul 1 pagi tadi.
Jelasnya, di lokasi berkenaan, sebanyak 21 orang individu diperiksa dan hasilnya seramai 12 orang warga asing yang terdiri daripada lima lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki dan enam wanita warganegara Indonesia ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas yang sah semasa pemeriksaan dilakukan.
“Seterusnya operasi turut dijalankan di sebuah kelab komuniti di kawasan Cyberjaya, Selangor pada pukul 1 petang tadi dan sebanyak dua orang lelaki warganegara Ghana diperiksa dipercayai bekerja di kelab komuniti tersebut.
“Setelah mereka menyedari kehadiran pegawai operasi, warga asing tersebut cuba melarikan diri dan salah seorang dari mereka terjun ke dalam tasik di belakang kelab tersebut sehingga membahayakan diri sendiri,” jelasnya.
Jelas Khairul Dzaimee, ekoran kejadian itu, pegawai operasi terpaksa terjun ke dalam tasik untuk menahan warga asing tersebut.
“Kedua-dua lelaki warganegara Ghana ini ditahan kerana gagal mengemukan sebarang dokumen atau pas yang sah semasa pemeriksaan.
“Sepanjang siri operasi ini seramai 26 orang warga asing berjaya ditahan dan seramai empat orang warga tempatan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan,” katanya.
Dalam pada itu kata beliau, kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk disiasat diatas pelbagai kesalahan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959 dan 1963, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.