Penalti Ifedayo pastikan kemenangan Selangor - Utusan Malaysia

Penalti Ifedayo pastikan kemenangan Selangor

PEMAIN-pemain Selangor meraikan jaringan pada perlawanan Piala Malaysia 2021 ketika berdepan Perak di Stadium MBPJ, malam ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaringan menerusi sepakan penalti membantu Selangor melakar kemenangan 1-0 ke atas Perak pada aksi pertama kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Tindakan pertahanan tengah Perak, Idris Ahmad menjatuhkan Sean Selvaraj dalam kotak penalti menyaksikan pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah.

Peluang itu mudah disempurnakan penyerang sensasi Red Giants, Ifedayo Olusegun pada minit ke-80 menewaskan penjaga gol lawan, Azri  Ab Ghani  untuk membuka akaun golnya dalam kempen Piala Malaysia.

Beraksi di laman sendiri, Selangor menggunakan kelebihan dengan menguasai permainan dan hampir memecah kebuntuan gol menerusi percubaan Ifedayo, namun rembatan kaki kiri penjaring terbanyak Liga Super itu pada minit ke-25 gagal menemui sasaran.

Tersentak dengan serangan itu, Perak mencipta dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun dipersia-siakan oleh penyerang dari Ghana, Nana Poku.

Pada minit ke-28, ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Khairulazhan Khalid berjaya menafikan rembatan Poku dalam kotak penalti.

Dua minit kemudian penyerang berusia 29 tahun itu sekali lagi berpeluang menjaringkan gol, namun kali ini tampanannya tersasar walaupun hanya berdepan dengan pintu gol.

Bersambung babak kedua, Bos Gaurus sekali lagi menguji gawang tuan rumah, namun rembatan Adib Abdul Ra’op hanya sedikit melewati palang gol pada minit ke-57.

Menerusi satu serangan balas, juara Piala Malaysia 33 kali itu melakukan percubaan menerusi Danial Asri tetapi rembatannya sekadar menggegar jaring belakang gawang yang dikawal penjaga gol Perak Azri Ab Ghani pada minit ke-59.

Tempo permainan terus meningkat selepas Selangor memperolehi gol pembukaan namun tiada tambahan gol berjaya dijaringkan oleh kedua-dua pasukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.