SEREMBAN: Bagi menghargai jasa bekas pesara polis di negeri ini, pihak Hospital Pakar CMH menawarkan sehingga 20 peratus pengurangan kos rawatan kepada golongan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar CMH, Henderic Koo Teck Leng berkata, tawaran tersebut adalah bersempena sambutan Hari Malaysia dan ia julung kali diadakan pihaknya yang bertujuan membantu bekas petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban untuk negara.
“Sempena sambutan Hari Malaysia, pihak Hospital Pakar CMH mahu membantu pesara polis ini dengan melakukan saringan kesihatan secara berkala dan percuma kepada mereka.
“Kebanyakan daripada mereka berumur 60 tahun dan ke atas dan pemeriksaan kesihatan amatlah penting bagi memastikan status kesihatan mereka dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara Hospital Pakar CMH dan Persatuan Pesara Polis Negeri Sembilan di sini semalam.
Sementara itu, Teck Leng berkata, pengurangan kos rawatan sehingga 20 peratus itu turut menjadikan kos rawatan yang diterima jauh lebih murah berbanding hospital swasta yang lain.
“Sekiranya rawatan yang menggunakan insurans, kos rawatan yang diberikan juga jauh lebih murah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pesara Polis Negeri Sembilan, Alias Abdullah berkata, pihaknya berasa teruja dengan kerjasama tersebut dan berharap ia dapat memberikan kemudahan kepada pesara polis di negeri ini.
“Saya berterima kasih kepada pihak hospital yang memberi tawaran kepada persatuan kami. Program julung kalinya ini merupakan satu program yang baik untuk pesara terutama yang mempunyai penyakit dan memerlukan rawatan.
“Terdapat seramai 5,000 bekas pesara polis di daerah Seremban manakala 10,000 pesara polis di negeri ini yang bernaung dibawah persatuan ini yang terdiri tiga peringkat ahli pesara polis berpencen, tidak berpencen termasuk keluarga bekas pesara,” katanya. – UTUSAN