Harga siling: Tular netizen tersilap tegur KJ, DBP perjelas erti - Utusan Malaysia

Harga siling: Tular netizen tersilap tegur KJ, DBP perjelas erti

HANTARAN infografik DBP menjelaskan maksud sebenar harga siling atau juga disebut harga bumbung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semalam, dunia maya tanah air kecoh ekoran hantaran tular oleh beberapa warganet yang cuba ‘tunjuk pandai’, namun akhirnya ‘memakan’ diri mereka sendiri pula.

Ia berikutan ciapan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam bahasa Inggeris pada Khamis lalu melalui akaun Twitter yang mengesahkan penetapan harga siling kit ujian untuk Covid-19.

Bagaimanapun,ejaan ‘ceiling’ yang bermaksud siling dalam ciapan itu diperbetulkan pula oleh dua netizen kononnya sebagai salah dengan mereka pula mengeja sebagai ‘selling’ atau jualan.

Silap faham ejaan oleh dua warganet ini bagaimanapun mengundang kritikan ramai pengguna media sosial sebagai bahan jenaka sindiran kerana apa yang dieja Khairy itu memang sahih.

Ini menyaksikan ramai menyindir dan mengejek hantaran pembetulan ejaan oleh dua netizen itu yang mungkin hendak ‘mengajar’ Khairy, sedangkan mereka sendiri tersalah mengeja.

TANGKAP layar memaparkan teguran warganet ke atas ciapan Khairy Jamaluddin yang silap faham maksud harga siling.

Tidak ketinggalan ‘memanaskan’ situasi itu, laman sosial rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tampil menjelaskan maksud sebenar harga siling atau juga disebut harga bumbung.

Menerusi hantaran tersebut, agensi itu memaklumkan bahawa frasa tersebut bererti harga barang atau perkhidmatan yang paling tinggi boleh dikenakan oleh penjual kepada pembeli.

“Harga paling maksimum ini ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk mengawal harga produk tertentu seperti beras atau gula, dan juga perkhidmatan tertentu seperti tol,” jelas DBP lagi.

Hantaran berbentuk infografik itu yang bersumberkan dari Kamus Dewan Perdana terbitan DBP tahun lalu, turut menerima reaksi luar biasa warganet dengan dikongsi lebih 1,000 kali.

Malah ia meraih sejumlah hampir 4,000 tanda suka selain lebih 300 komen netizen selepas lima jam dimuat naik oleh agensi berkenaan lewat malam tadi melalui slot Perkataan Hari Ini.

“Pengajaran untuk dia dan semua orang agar tidak sembrono ketika hendak tegur orang,” tulis warganet bernama Siti Aisyah Buhari dengan tanda emoji orang ketawa.

“Admin (pentadbir) terbaik! Selalu peka dengan isu semasa. Nanti keluarkan peribahasa untuk geng ikan jerung warna merah kuning hijau biru pula,” sindir warganet bernama Ilyas Taib

“Ahhh… Siapa yang yakin sangat hendak tegur ejaan ditulis oleh Yang Berhormat Khairy tu, sila baca hantaran penjelasan DBP ni,” nukil seorang lagi pengguna, Shivabalan Thiruchelva.

“Bagus DBP buat macam ni. Tidak adalah orang buat ‘palatao’, sekurangnya cakap biarlah berlandaskan ilmu, baru lahir generasi yang terbilang,” kata netizen Muhammad Nor Arifuddin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN