Harga dedak naik 75 peratus - Utusan Malaysia

Harga dedak naik 75 peratus

ABDUL Yunus Jamahri (kiri) meninjau pelaksanaan harga minimum kit ujian pantas antigen Covid-19 di pusat sebuah pusat beli belah di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kos makanan ayam meningkat sehingga 75 peratus iaitu pada harga RM1,400 bagi setiap satu tan metrik berbanding hanya sekitar RM800 sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, kenaikan mendadak itu menjadi antara punca kenaikan harga ternakan itu di pasaran, pada masa ini.

“Siasatan telah dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan isu ini dan telah pun mengenal pasti beberapa faktor.

“Pertamanya, terdapat peningkatan harga dedak yang mana sebelum ini makanan ayam adalah RM800 bagi satu tan.

“Sekarang, maklumat yang kita terima telah meningkat kepada RM1,400 bagi satu tan,” katanya dalam sidang akhbar selepas tinjauan pelaksanaan harga minimum kit ujian pantas antigen Covid-19 di pusat membeli belah Ipoh Parade di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, faktor lain kenaikan harga ternakan itu turut melibatkan pihak ladang yang mengalami peningkatan dari segi kos operasi.

Katanya, kekurangan pekerja asing menyebabkan pihak ladang terpaksa mengambil pekerja tempatan dengan kadar upah yang lebih tinggi.

“Selain itu, peningkatan harga bekalan anak ayam juga dikenal pasti menjadi antara punca kenaikan harga ternakan itu di pasaran.

“Kenaikan harga anak ayam itu menyebabkan ada pengusaha yang mengurangkan pembelian dan menyebabkan bekalan ayam berkurangan di pasaran. Bila bekalan kurang, harga pun meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, KPDNHEP Perak telah melakukan pemeriksaan harga ayam di seluruh negeri dan mendapati terdapat segelintir peniaga menjual dengan harga yang tinggi.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan, ada peniaga yang dikesan menjual pada harga RM11.50 bagi satu kilogram ayam manakala ada juga yang menjual pada harga serendah RM5.90 untuk satu kilogram.

“Pihak KPDNHEP sedang menyiasat perkara tersebut. Macam pasar raya, mereka ada ‘farming contract’ dengan pihak ladang, jadi mereka dapat harga yang lebih rendah dan stabil.

“Pada pandangan kita, perkara ini mungkin tidak akan berlarutan dalam jangka masa panjang dan pihak KPDNHEP sendiri memang sentiasa memantau dan mencari jalan untuk menstabilkan harga ayam di pasar-pasar di seluruh Perak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.