Harga ayam di Kelantan RM9 ke bawah - KPDNHEP

Harga ayam di Kelantan RM9 ke bawah

SEORANG penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan dan pemantauan harga ayam di sebuah pasar raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Harga runcit ayam standard tertinggi direkodkan di Kelantan turun kepada RM9 sekilogram berbanding RM9.50 beberapa hari kebelakangan ini, manakala harga terendah direkodkan pula adalah RM7.90 sekilogram.

Harga itu dicapai selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengeluarkan surat pemberitahuan meminta peniaga menurunkan harga ke paras yang munasabah.

Pengarah KPDNHEP negeri, Adnan Abd. Rahman berkata, menerusi pendekatan bersifat ‘soft-approach’ itu, sebanyak 33 peniaga ayam di negeri ini bersetuju menurunkan harga antara 10 sen hingga 50 sen bagi sekilogram ayam.

“Harga jualan ayam tertinggi dikesan di Pasar Awam Ketereh dengan harga runcit RM9.50 dan notis telah dikeluarkan. Buat masa ini harga tersebut diturunkan sebanyak 50 sen selepas pendekatan baharu ini digunakan. 

“KPDNHEP Kelantan turut mendapati harga jualan runcit ayam standard terendah kini pada harga RM7.90 sekilogram,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini

Menurut beliau, penurunan harga menunjukkan komitmen dalam kalangan peruncit, pemborong serta penternak berikutan keluhan pengguna dan hasil pemeriksaan serta penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihaknya. 

Katanya, KPDNHEP Kelantan akan sentiasa memantau perkara itu bagi memastikan pengguna mendapat harga yang munasabah tanpa menjejaskan peniaga dan manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Surat ini dikeluarkan sebagai tindakan pemantauan bagi kedudukan harga dan peringatan kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya. 

“Kita memandang serius dan seterusnya tindakan ini diharap dapat menangani segera isu kenaikan harga ayam di pasaran,” katanya.

Adnan turut menasihatkan pengguna menggunakan aplikasi Price Catcher untuk membuat perbandingan harga barang-barang keperluan di tempat masing-masing sebagai langkah penjimatan dan merancang pembelian.

Sebarang aduan kepada KPDNHEP boleh dibuat sama ada melalui saluran Portal [email protected] atau menghubungi 1800 886 800. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN