Enakmen Antilompat Parti dicadang diwujudkan di Negeri Sembilan

Enakmen Antilompat Parti dicadang diwujudkan di Negeri Sembilan

LOKE Siew Fook ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada hari pertama Persidangan Pertama, Penggal Keempat, Sidang DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perlu ada satu enakmen bagi menghalang Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada melompat parti diwujudkan di peringkat kerajaan Negeri Sembilan.

Loke Siew Fook (PH-Chennah) berkata, di peringkat kerajaan Persekutuan, kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang dilihat bersetuju untuk mewujudkan akta berkaitan antilompat parti.

Oleh itu, ujar beliau, sekiranya perkara itu mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen dan selepas Perlembagaan Persekutuan dipinda, Negeri Sembilan juga perlu mengambil langkah segera untuk mewujudkan enakmen mengenainya.

“Setiap ahli politik, perlu ada prinsip taat kepada parti kerana tanpa parti kita tidak boleh menang. Sudah sampai masanya negara perlu ada satu undang-undang yang melarang wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya, selepas itu lompat.

“Di peringkat Persekutuan kita sedang membahaskan dan nampaknya kerajaan dan pembangkang bersetuju bahawa perlu ada satunya Akta Antilompat Parti. Ini memerlukan sokongan semua pihak kerana ia perlu majoriti dua pertiga di Parlimen untuk pindaan Perlembagaan .

“Saya harap sekiranya ini berjaya dilaksanakan di Parlimen, kerajaan negeri juga perlu mengambil inisiatif dengan segera untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan juga melarang sebarang perkara berkaitan lompat parti di dalam Negeri Sembilan dan perlunya enakmen untuk melarang ADUN-yang menang daripada lompat parti,” katanya.

Siew Fook berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada hari pertama Persidangan Pertama, Penggal Keempat, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.

Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) ketika membahaskan usul yang sama turut bersetuju supaya diwujudkan enakmen berkaitan anti lompat parti di negeri ini.

“Parti saya tiada masalah di peringkat Negeri Sembilan ,kenapa tidak, kita boleh, kita negeri yang berdaulat. Kita buat supaya Negeri Sembilan ada enakmen anti lompat parti, lepas tu kita buat la enakmen dana politik dan lain-lain,” katanya yang juga merupakan ketua pembangkang DUN Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN