SEPANG: Empat lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian tetak hingga menyebabkan kematian seorang penganggur di Taman Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek direman tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tahanan reman ke atas kesemua suspek itu bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Reman keempat-empat suspek sehingga 19 September ini,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan empat lelaki disyaki terbabit dalam kejadian itu, malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, seorang lelaki berusia 45 tahun maut akibat ditetak dan dipukul di belakang badan disyaki dengan senjata tajam.
Wan Kamarul Azran berkata, siasatan awal mendapati, mangsa didatangi sekumpulan lima lelaki di hadapan rumahnya ketika mangsa berada di luar rumah kerana mahu muntah gara-gara mabuk.
Katanya, semasa mangsa membuka pagar, sebuah kereta berwarna merah jenis Proton Iswara tiba-tiba meluru datang sebelum keluar dua suspek dan menghampiri mangsa.
“Salah seorang telah bertindak menetak mangsa di belakang badan dan kepala manakala seorang lagi memukulnya di kepala dengan topi keledar sebelum melarikan diri dengan kereta.
“Mangsa yang parah kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh doktor ketika tiba di hospital,” katanya. – UTUSAN ONLINE