PETALING JAYA: Empat individu dipanggil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membantu siasatan susulan video tular sambutan hari jadi di sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, di sini, yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Keterangan kesemua mereka diambil bagi membantu siasatan selepas sebuah video berdurasi 1.01 minit tular semalam yang menunjukkan sekumpulan individu menyambut hari jadi di premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, hasil penelitian ke atas klip video itu mendapati, aktiviti sosial yang diadakan menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.
“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
“Setakat ini empat individu sudah dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Noor Dellhan, kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE