PETALING JAYA: Pengambilan vaksin Covid-19 dengan dos lengkap dapat memberi kesan pencegahan lebih 80 peratus terhadap kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU), kematian, risiko jangkitan dan risiko jangkitan bergejala.
Dalam satu hantaran di Twitter, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, kajian tersebut dilakukan oReal-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah PICK (RECoVaM) dan diterajui Institut Penyelidikan Klinikal (ICR-NIH) KKM.
Katanya, kajian itu dijalankan bermula 1 April sehingga 12 September lepas yang melibatkan 14,500,984 individu lengkap vaksinasi.
“Kajian itu membuktikan pengambilan vaksin Covid-19 dengan dos lengkap adalah 83 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke ICU, 88 peratus berkesan dalam mencegah kematian, 88 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan dan 86 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan bergejala.
“Daripada lebih 14.5 juta individu lengkap vaksinasi itu, sebanyak 953 atau 0.0066 peratus dimasukkan ke ICU dan 1,445 atau 0.010 peratus kematian.
“Majoriti individu lengkap vaksin yang dimasukkan ICU dan kematian adalah warga emas dan mempunyai komorbid,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut KKM, hasil kajian berkenaan sudah dibentang oleh Pengarah ICR-NIH, Dr. Kalai Peariasamy dalam sesi libat urus bersama media yang diadakan secara webinar semalam.
Katanya, dalam kajian itu, AstraZeneca menunjukkan bilangan kes ICU dan kematian yang lebih rendah.
“Ini kerana bilangan penerima dos lengkap vaksin itu yang sedikit berbanding vaksin Pfizer dan Sinovac serta sebahagian besar penerima vaksin itu adalah golongan muda.
“Manakala vaksin Pfizer dan Sinovac diberikan kepada semua kumpulan umur termasuk golongan berisiko tinggi.
“Namun, kajian ini telah membuktikan semua vaksin adalah berkesan,” kata Dr Kalai. – UTUSAN ONLINE










