PUTRAJAYA: Berita baik buat pelajar Universiti Awam (UA) bagi Semester 1 Sesi 2021/2022 apabila kerajaan menawarkan pengurangan yuran pengajian 20 peratus.
Perkara itu diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada Majlis Pengumuman Pengoperasian Institut Pengajian Tinggi (IPT), hari ini.
Menurut beliau, tawaran pengurangan yuran itu dibuat atas dasar keprihatinan serta kecaknaan KPT terhadap bebanan keluarga dan pelajar.
“Tawaran itu yang bakal memanfaatkan seramai 555,340 pelajar dengan nilai keseluruhan sebanyak RM175 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) kini giat melaksanakan Program VACC2Campus bagi meningkatkan jumlah warga IPT mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus di buka.
Menurutnya, KPT mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang boleh mendapat vaksin dan berdaftar dengan mySejahtera, akan menerima suntikan vaksin lengkap menjelang hujung Oktober 2021.
“Sehingga kini, sebanyak 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksin.
“Oleh itu, saya menyeru semua pelajar dan kakitangan IPT yang masih belum divaksin, untuk segera berbuat demikian.
“Bagi tujuan ini, warga IPT boleh mendapatkan vaksin secara walk-in di mana-mana Pusat
Pemberian Vaksin (PPV).
“Pelajar dan kakitangan IPT hanya perlu bawa kad pelajar/kad pekerja dan kad pengenalan/passport. Bagi pelajar baharu,
mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT berserta dengan kad pengenalan/passport,” katanya.
Katanya, KPT juga menetapkan supaya setiap IPT menyediakan pusat pengasingan di IPT masing-masing bagi menguruskan kes-kes bergejala atau jangkitan.
Jelasnya lagi, pihak IPT juga digalakkan untuk memberi kit ujian kendiri Covid-19 kepada pelajar yang kembali ke kampus.
Pada masa sama, Noraini berkata, proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Bagi kursus atau program yang djalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP secara dalam talian di lokaliti masing-masing.
“Aktiviti-aktiviti melibatkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan boleh dijalankan secara berkumpulan, berpandukan SOP yang ditetapkan,” katanya.- UTUSAN