Culik lelaki Bangladesh dan minta tebusan, empat ditahan bantu siasatan - Utusan Malaysia

Culik lelaki Bangladesh dan minta tebusan, empat ditahan bantu siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Diculik dan dikurung di dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas sebuah rumah dengan kedua-dua tangan bergari manakala kaki dirantai serta dikunci dengan mangga.

Itu nasib seorang lelaki Bangladesh berusia 39 tahun yang dilarikan dua lelaki senegaranya dalam kejadian di Kajang, di sini. 

Malah, suspek menghubungi keluarga mangsa di Bangladesh dengan meminta wang tebusan sebanyak 1 juta Taka (RM50,000).

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh yang memaklumkan pekerjanya hilang dipercayai diculik sejak 27 Ogos lalu. 

Katanya, pengadu mengetahui perkara itu melalui isteri mangsa yang berada di Bangladesh. 

“Mangsa dipercayai dilarikan dua lelaki Bangladesh ketika berada di kawasan Jelok Ria serta menghubungi isteri mangsa untuk memasukkan wang tunai 1 Juta Taka (RM50,000) ke  akaun bank Bangladesh. 

“Isteri mangsa yang ketakutan  melakukan transaksi tersebut ke akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zaid berkata, selepas tiga hari diculik, suspek meminta tambahan sebanyak 1 Juta Taka (RM50,000) untuk membebaskan mangsa yang disembunyikan di tempat tidak diberitahu. 

Ujarnya, akibat kehabisan duit, isteri mangsa menghubungi pengadu untuk meminta bantuan. 

“Bertindak atas maklumat,  polis bmenahan empat warga Bangladesh berusia antara 30 hingga 40 tahun di hadapan kedai di TTDI Grove Kajang.

“Hasil pandu arah suspek membawa pasukan polis ke kawasan perumahan di Bandar Teknologi Kajang dan menemukan mangsa di dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas rumah dalam keadaan lemah dan kedua-dua tangan bergari manakala kedua kakinya dirantai dan dikunci dengan mangga,” katanya. 

Tambah Mohd. Zaid, ketika mangsa diselamatkan, seorang perempuan warga tempatan iaitu isteri kepada seorang daripada suspek turut ditangkap. 

Jelasnya, kesemua suspek dihadapkan ke Mahkamah Kajang bagi tujuan reman hari ini. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 365 dan 384 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini diseru tampil membantu polis dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat iaitu Inspektor Suresh Krishnan,” ujar beliau.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN