KUALA LUMPUR : Penyanyi rap terkenal antarabangsa, Cardi B, 28, selamat melahirkan anak keduanya, Sabtu lalu namun cuma berkongsikan perkara tersebut menerusi akaun Instagramnya semalam.
Berita gembira tersebut dikongsikan oleh isteri penyanyi rap Offset ini menerusi satu hantaran foto yang memaparkan dirinya sedang memeluk anak keduanya tersebut di dalam wad sebuah hospital sambil ditatap suaminya yang berada di sisi.
Menerusi ruangan kapsyen, Cardi B menulis tarikh kelahiran puteranya itu buat tatapan semua peminat dan pengikutnya di media sosial.
Menerusi perkongsian tersebut, penyanyi yang popular dengan lagu berjudul I Like It ini telah dihujani dengan ucapan tahniah daripada peminat dan pengikutnya di Instagram.
Sementara itu, menerusi komen yang diberikan oleh Cardi B dan Offset kepada media antarabangsa, kedua-duanya kelihatan sangat gembira menerima kehadiran cahaya mata kedua yang masih belum dikongsikan namanya itu.
“Kami berdua sangat terharu dan gembira kerana akhirnya dapat bertemu dengan anak lelaki kami ini. Sebelum dilahirkan dan berada dalam kandungan lagi, dia telah sedia disayangi seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan kami.
“Tak sabar rasanya mahu membawanya pulang untuk bertemu dengan adik-beradiknya yang lain,”katanya.
Cardi dan Offset mendirikan rumah tangga pada 20 September 2017 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata sebelum ini yang dinamakan Kulture dan berusia tiga tahun.
Offset juga merupakan bapa kepada tiga orang anak sebelum ini dan mereka ialah Jordan, 11, Kalea dan Kody yang masing-masing berusia enam tahun.