PETALING JAYA: Polis telah mengambil keterangan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice berhubung isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin pada Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua individu itu selesai diambil keterangan menerusi emel semalam.
“Kita sudah menghantar soalan-soalan yang perlu dijawab kepada mereka pada 29 Ogos lalu dan mereka selesai menjawab semua soalan diberikan oleh pegawai penyiasat yang menyiasat kes ini.
“Kita kemudian menerima emel balas bersama jawapan dari kedua-dua individu berkenaan. Kedua-dua mereka memberikan kerjasama yang baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ashari berkata, pihaknya kini dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.
Ujarnya, apabila kertas siasatan lengkap, ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.
Pada 22 Julai lalu, pendakwah, Ebit Lew dilaporkan hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan isu terbabit.
Sebelum ini, pendakwah terkenal itu dipetik menafikan dakwaan Muhammad Nadir yang pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza.
Ebit turut menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah melampau. – UTUSAN ONLINE