MELUAT! Jika itu yang anda fikirkan, barangkali satu nasihat yang boleh diberikan adalah jangan terlalu rakus meletakkan hukum kepada wanita bernama Datuk Seri Vida ini.
Daripada pelbagai sisi, sebagai orang luar, tidak salah untuk kita cuba menyelami apa yang sebenar-benarnya dirasakan oleh selebriti dan usahawan ini tatkala dia mengumumkan hasratnya untuk berkahwin lagi.
Pula itu, hubungannya dengan lelaki muda, Ahmad Iqbal Zulekfli, dirasakan umpama tidak sepadan dari segi jurang usia. Namun, meski ramai menghentam, penangannya tidak sama dengan penafian restu daripada seorang anak.
Vida sedang berdepan dengan satu masalah besar ini. Lalu, bagaimana, caranya untuk menjernihkan keadaan, mendapatkan satu keputusan yang adil sambil menimbang tara beban trauma yang dipikul si anak?
Bersama Pancaindera, Vida berkongsi perasaan dan jawapan.
Datuk sudah lama memendam rasa untuk berkahwin, tetapi demi anak-anak Datuk sering ketepikan dahulu hasrat itu. Cuma, adakah sekarang Datuk rasa masa sesuai untuk teruskan sedangkan Cik B seakan tidak bersetuju?
Sebenarnya, saya sudah lama menjaga hati ramai pihak termasuk anak-anak dan keluarga. Tahun 2018 dulu, percintaan ini ibarat satu hubungan yang tertunda. Bukan percintaanlah, tapi niat nak berumah tangga itu ditunda setelah apa yang berlaku pada waktu itu. Ada hikmah bila Iqbal tinggalkan saya sebelum ini sehingga akhirnya dia membuka perniagaan sendiri atas rasa kesedihan. Mungkin inilah waktu yang tepat untuk meneruskan ‘cinta terlarang’ dulu.
Cik B memang sedang dalam keadaan emosi tidak stabil memikirkan hal ini. Rasa-rasanya, macam mana nak pujuk Cik B dalam hal ini?
Saya dan Cik B memang tegang sebenarnya. Tapi saya pun tak nak dia tertekan. Jadi saya biarkan dia bersama dengan anak-anak sepupu, biarkan dia bermain dan beraktiviti. Malam-malam, saya akan jenguk dia di bilik, tengok dia buat apa. Kalau siang, dia selalu menangis.Dia akan tanya saya macam-macam, cakap macam-macam. Jawapan yang saya tak boleh nak berikan. Dia ingat saya tengah buat gimik pemasaran atau saja-saja. Saya nak cakap apa begitu?
Sebagai seorang anak remaja, tentunya Cik B dalam fasa rebel atau memberontak. Tapi ada yang kata betul juga pandangan dia yang bimbangkan mamanya. Kegagalan rumah tangga lalu menyebabkan dia juga sangat trauma melihat nasib menimpa mamanya. Komen?
Saya tahu Cik B sangat protektif. Dia sayangkan saya. Dia melalui zaman dan fasa-fasa kesedihan bersama bekas suami saya yang telah meninggalkan satu perasaan yang sangat menyakitkan hatinya. Setelah dia beri harapan, dia panggil mereka papa, tapi mereka kemudiannya menghancurkan hati,mengikis harta, curang dengan saya. Dia lihat semua kesedihan, tangisan, kemurungan saya itu jadi dia tak nak tengok saya jadi macam itu lagi. Saya faham, dia tak percaya pada lelaki. Bukan sekali, tapi dua tiga kali dah terjadi. Maka dia takut.
Cik B sayangkan Datuk dan dia pernah beritahu pada saya yang dia kata kalau dia tak ada bapa baru pun tak apa. Bagaimana pula dengan Datuk, adakah Datuk bersedia untuk tidak perlu memikirkan soal kahwin atau ada suami atau tidak?
Cik B tidak memahami pada waktu ini, tapi saya yakin dia mampu. Dia pun akan tinggalkan saya untuk meneruskan pelajarannya selepas ini dan saya terkontang-kanting di rumah. Saya perlukan Cik B dan juga peneman hidup untuk meneruskan empayar saya. Untuk saya rasa kuat sikit. Saya faham, nak cari teman pun kita kena teman yang tepat. Jangan pula teman yang menjadikan saya ngeri. Masuk bilik, tengok barang berharga semua dicuri. Oh tidak!
Susah menjadi seorang Datuk Seri Vida ini? Ramai melihat terlalu banyak tanggung jawab yang dipikul dan perlu menjaga banyak hati.
Betul. Orang tengok manis, seronok, tapi tanggung jawab dan ujian yang saya lalui sangat berat. Allah SWT pilih saya untuk pelbagai ujian itu termasuklah kecaman dan kutukan. Cukup-cukuplah saya duduk dalam keadaan sedih. Ini waktunya untuk saya raih semula kebahagiaan yang tertunggak. Qada kebahagiaan dulu.
Setiap anak-anak juga tentu mendoakan yang terbaik dan kebahagiaan orang tuanya. Apa harapan Datuk kepada Cik B dan Kacak? Adakah mahu mereka menerima segala ketentuan dan takdir atau bagaimana…(sekiranya pernikahan tetap dilangsungkan).
Insya-Allah, Cik B dan Kacak akan memahaminya satu hari nanti. Mereka juga tentunya mahukan yang terbaik untuk mama mereka ini dan tidak bertemu dengan lelaki yang membuatkan mamanya menangis lagi. Doa anak-anak yang soleh.
Khuatir tak jika ada pihak yang melihat situasi ini dan menyalahkan Datuk kerana dianggap tergedik-gedik nak kahwin?
Kalau orang tengok saya ketepikan anak dan tergedik-gedik nak kahwin, sebenarnya, tengok pada niat itu apa. Niat saya nak dirikan masjid, nak bersama dengan anak-anak dan suami dan kebahagiaan itu dikecapi sekali. Tak akan tinggalkan salah satu. Saya sentiasa doakan keluarga agar menerima kehadiran Iqbal dengan tangan terbuka dan cahaya kebahagiaan.Tidak ada istilah tergedik-gedik. Terjadinya ikatan ini adalah membuka satu lembaran sejarah yang baru. Kita tengok ke hadapan dan lambat laun, orang akan tahu kenapa saya nak kahwin.










