SHAH ALAM: Bekalan air di semua 463 kawasan yang terjejas bakal pulih tidak lama lagi apabila pemulihannya kini mencapai 66 peratus.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan pemulihan melibatkan tiga wilayah itu direkodkan sehingga pukul 7 petang tadi.
“Kawasan terjejas di Hulu Langat mencatatkan sebanyak 90.7 peratus pemulihan diikuti Putrajaya (82.6) dan Sepang (81.4).
“Bekalan air di daerah Kuala Langat dan Petaling pula masing-masing 75 dan 37.2 peratus setakat ini,” kata kenyataan hari ini.
Pengguna yang sudah mendapat bekalan air dinasihatkan membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
Orang ramai turut diminta menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual itu.
Air Selangor memohon kerjasama orang ramai mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air tersebut.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.
Semalam, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran bau pukul 12 tengah hari.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan pembuangan efluen yang menyebabkan henti tugas itu dipercayai dilakukan ketika paras air Sungai Semenyih tinggi.
Kejadian dikatakan berlaku antara pukul 1 hingga 7 pagi susulan hujan lebat di bahagian hulu pagi semalam.