Bekalan air pulih sepenuhnya Jumaat ini - Utusan Malaysia

Bekalan air pulih sepenuhnya Jumaat ini

ANGGOTA LUAS sedang memeriksa bau sampel air yang diambil dari Sungai Semenyih berikutan pencemaran dikesan berlaku di sana dan Sungai Rinching, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Gangguan bekalan air di semua 463 kawasan terjejas di Lembah Klang dijangka pulih sepenuhnya pada Jumaat ini.

Bekalan air bersih dan selamat mula disalurkan secara berperingkat di kawasan terlibat pada pukul 7 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan pihaknya sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bekalan di seluruh kawasan terjejas.

“Bekalan air di 463 kawasan itu akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 12 tengah malam 3 September ini (Jumaat).

“Pengguna boleh merujuk Jadual Pelan Pemulihan terperinci di www.airselangor.com, atau ‘Instagram Instastory’ & ‘Facebook Story’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor turut menjalankan ujian kualiti air yang mematuhi piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna,” katanya.

Tambah kenyataan itu, bantuan bekalan air alternatif turut akan terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal yang terlibat.

“Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Orang ramai diminta mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air tersebut,” katanya.

Semalam, LRA Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran bau pukul 12 tengah hari.

Keadaan itu mengakibatkan sebanyak 463 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia melibatkan 194 kawasan terjejas di Sepang, Petaling (172), Hulu Langat (54), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Namun, LRA itu mula kembali beroperasi selepas bacaan bau tahap 0 Ton direkodkan tiga kali berturut-turut di Sungai Semenyih petang semalam.

Pembersihan sistem rawatan air bagaimanapun perlu dilakukan terlebih dulu dan mengambil masa kira-kira 14 jam sebelum dapat diagihkan kepada pengguna.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan punca sebenar pencemaran yang menyebabkan henti tugas LRA itu belum dikenalpasti setakat ini.

Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar sungai berkenaan.

Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan gangguan bekalan air tidak berjadual itu menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau aplikasi Air Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya