PUTRAJAYA: Tidak sampai 11 hari ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tiga perkampungan Orang Asli di Pahang sekali lagi dikenakan perintah sama membabitkan Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong.
Tiga lokaliti masyarakat Orang Asli etnik Semai itu terletak di Mukim Ulu Telom, Daerah Cameron Highlands, pernah dilaksanakan PKPD dari 26 Ogos sehingga 8 September lalu berpunca daripada kluster komuniti Sungai Kabuk menyaksikan kes indeks, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun turut meninggal dunia sebelum menjangkiti 47 individu.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, turut dikenakan PKPD selama 14 hari sehingga 3 Oktober ini ialah satu lokaliti lagi di Sabah iaitu Kampung Tamu Darat, Daerah Kota Belud yang majoritinya etnik Dusun.
Rodzi memaklumkan, tiga lokaliti masing-masing di tiga negeri bakal ditamatkan PKPD serentak seperti dijadualkan antaranya Mukim Kuala Kedah, Daerah Kota Setar, Kedah meliputi Taman Baru, Taman Seri Marina, Taman Seri Putra, Kampung Tepi Laut, Kampung Sematang dan Kampung Balai.
“Selain itu Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kota Kinabalu, Sabah disebabkan Kluster Jalan Pahlawan menyebabkan institusi tersebut dilaksanakan PKPD bermula 6 September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Satu lagi lokaliti ialah Penjara Tapah termasuk kuarters di Daerah Batang Padang, Perak yang dikenakan PKPD pada 23 Ogos dan pernah sebelum itu dari 1 Mac hingga 26 April lalu. – UTUSAN ONLINE