fbpx

AUKU wajar dimansuh, menghalang kebebasan pengundi 18 tahun

PETALING JAYA: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengesa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimansuhkan kerana undang-undang itu dilihat menghalang kebebasan belia 18 tahun untuk mengundi sekiranya dilaksanakan kelak.

KMUM dalam kenyataan memaklumkan, amat tidak wajar sekiranya autonomi pelajar disekat menerusi peraturan-peraturan termaktub di dalam AUKU selepas belia berusia 18 tahun diberi peluang untuk mengundi di dalam pilihan raya.

“Oleh itu kami mengesa agar pemansuhan AUKU dilaksanakan supaya dapat menjamin autonomi yang sepatutnya dinikmati oleh seluruh mahasiswa,” kata kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ini selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Dalam pada itu, KMUM menggesa kerajaan melaksanakan penurunan had usia mengundi kepada 18 tahun susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dengan menegaskan pelaksanaan tidak sepatutnya ditunda seperti sebelum ini.

“Penundaan tersebut boleh dikatakan sebagai suatu percubaan mala fide yang berniat untuk mengehadkan hak mengundi orang-orang muda.

“KMUM juga menegaskan bahawa Undi 18 adalah amat penting untuk memastikan hak-hak orang muda terus dipelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan. Malah, kelulusan usul Undi 18 ini juga dapat membawa kepada kepentingan politik dan negara,” katanya.

Selain itu, KMUM mengesa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi menjalankan program untuk mendidik para pengundi memandangkan terdapat segelintir mahasiswa dan belia yang tidak mempunyai akses kepada perkembangan politik semasa.

KMUM dalam kenyataan memaklumkan, mereka perlu didedahkan berkenaan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi negara demokrasi 

“Kedua-dua kementerian ini mempunyai dana dan pengaruh yang kuat bagi melaksanakan program-program tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN