PETALING JAYA: “Alhamdulillah, ibu kepada Siti Nur Azizah beritahu anaknya sudah sedar. Dah boleh makan, minum dan tak bergantung lagi pada bantuan oksigen. Siti Nur Azizah pun dah dipindah ke wad biasa”.
Demikian jelas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai nasib menimpa Siti Nur Azizah Syafriadi, mangsa kes samun bermotosikal di Jalan Kuching sehingga mengakibatkan tangan mangsa terpaksa dibuang.
Menurut Najib, sejujurnya beliau masih sedih dengan apa yang menimpa Siti Nur Azizah, niatnya nak bantu keluarga tetapi menjadi mangsa penjenayah.
“Tempoh hari saya hulurkan sedikit bantuan wang tunai kecemasan pada keluarga ini. Saya juga menawarkan bantuan guaman, jika mereka memerlukan. Siti Nur Azizah keluar untuk mencari sesuap nasi dengan menjadi penghantar barang bagi membantu ibunya, seorang ibu tunggal.
“Pedih hati saya, anak ini yang hanya berusia 17 tahun terpaksa menempuh kehidupan seperti ini selepas dizalimi penjenayah. Apa dosa adik Siti Nur Azizah sehingga kehilangan tangan? Dia keluar untuk mencari rezeki. Untuk bantu ibunya. Untuk bantu keluarganya. Untuk bantu adik-adiknya,” katanya.
Beliau amat yakin pihak polis akan segera menangkap penjenayah terlibat.
“Mereka perlu dihadapkan ke muka pengadilan. Insya-Allah, kami akan terus berhubung dengan keluarga adik ini dan saya harap dapat bertemu nanti. Saya doakan keluarga ini sentiasa tabah, dan Siti Nur Azizah dikurnikan sebaik-baik kesembuhan. Di sini juga, saya juga harap pihak berkaitan dapat segera hulurkan bantuan yang sewajarnya bagi mereka,” katanya.
Khamis lalu, Siti Nur Azizah bersama teman lelakinya menaiki motosikal cedera selepas dipercayai diserang serta disamun tiga lelaki di Jalan Kuching menghala ke Jinjang dalam kejadian 12.15 tengah malam.
Ketika kejadian, mangsa didatangi dua lelaki menaiki motosikal RS150 warna kelabu sebelum menarik tangan mangsa.
Suspek kemudian melibas mangga rantai motosikal pada bahagian belakang topi keledar dipakai mangsa.
Mangsa kemudian membuat pusingan dari Jalan Kuching menghala ke pusat bandar, namun sekali lagi dihimpit motosikal sama dan suspek menendang motosikalnya sehingga menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan sebelum motosikal turut dilarikan suspek.