fbpx

22 Oktober 2021, 6:17 pm

  TERKINI

Ahli perniagaan didakwa terima deposit hampir RM1 juta

 T. Harikumar dibawa anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa atas akta kewangan, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima deposit bernilai hampir RM1 juta tanpa lesen sah daripada seorang doktor pakar, tiga tahun lalu.

T. Harikumar, 43, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Tertuduh didakwa menerima wang deposit RM999,500 daripada doktor berkenaan tanpa lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Abdullah, Bangsar di sini antara 1 Ogos 2018 dan 26 Februari 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda yang boleh sampai RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Menurut Julaila, jumlah ikat jamin itu memadai berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh serius selain jumlah yang terlibat sebanyak RM999,500.

Bagaimanapun, peguam Datuk C. Vignesh Kumar Chellapah memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan pendapatan tertuduh terjejas sejak pandemik dan anak guamnya bersedia menerima syarat-syarat tambahan yang akan dikenakan mahkamah.

“Tertuduh yang juga bapa seorang anak berusia lima tahun turut menjaga seorang ibu berusia 75 tahun yang menghidap penyakit kencing manis,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Ahmad Kamar membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tarikh 26 Oktober ini ditetapkan untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI