ALOR SETAR: Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia dalam tragedi rusuhan kuil hampir tiga tahun lalu mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang baharu dilantik dapat memastikan kes tersebut mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 65, berkata, dia dan isteri, Asma Aziz, 53, melihat pelantikan Ismail Sabri mampu memberi sinar baharu kepada mereka.
Sehubungan itu, katanya, mereka merayu agar pucuk pimpinan baharu kerajaan itu yang sangat prihatin dengan nasib yang menimpa mereka sebelum ini tampil membantu mereka.
“Walaupun sudah hampir tiga tahun kami masih menaruh harapan tinggi agar penjenayah yang menyebabkan kematian Adib dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
“Saya harap apa yang beliau (Ismail Sabri) tegaskan dahulu sebelum menjadi Perdana Menteri bahawa penting agar mereka yang mengakibatkan kematian Adib dibawa ke muka pengadilan.
“Jadi setelah beliau pegang jawatan tinggi dalam kerajaan kes itu akan diselesaikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 17 Disember 2018, ekoran kecederaan dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Mohd. Kassim menambah, sehingga kini dia tidak menerima apa-apa maklumat yang positif tentang perkembangan kes Allahyarham Muhammad Adib.
“Tiada apa yang positif lagi. Tengok macam mana kerajaan baharu ini. Kita harap mereka tunaikan janji yang mereka cakap dulu kerana mereka sudah ada kuasa. Kami minta mereka bersungguh-sungguh selesaikan kes ini sahaja,” katanya.
Jelasnya, mereka sekeluarga masih terbeban dengan apa yang menimpa anak mereka itu kerana ia seolah-olah tiada pembelaan dan keadilan.
“Selagi kematian Adib tiada pembelaan sewajar selagi itulah kami berdoa dan berharap. Mahkamah Koroner sudah putuskan sebab kematian arwah dan kami cuma berharap pihak terlibat cari dan hukum mereka yang sebabkan kematian Adib,” katanya. – UTUSAN











