9,159 premis perniagaan di Kuala Muda, Sik diperiksa - Utusan Malaysia

9,159 premis perniagaan di Kuala Muda, Sik diperiksa

AZMI Dan (tengah) memeriksa barang keperluan di sebuah kedai pemborong di Pekan Lama, Sungai Petani, Kedah.  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sebanyak 9,159 premis perniagaan diperiksa pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) daerah Kuala Muda dan Sik bagi memastikan peniaga tidak melanggar undang-undang ditetapkan sejak lapan bulan pertama tahun ini.

Ketua KPDNHEP Cawangan Sungai Petani, Azmi Dan berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,547 premis perniagaan terletak  di luar bandar manakala selebihnya di dalam bandar.

Katanya, pemeriksaan itu juga dilakukan bagi memeriksa bekalan barangan keperluan seperti minyak masak, gula dan tepung bagi memastikan sentiasa mencukupi di pasaran.

Menurut beliau, pihaknya  mengesan terdapat dalam kalangan peniaga terbabit melakukan pelbagai kesalahan di bawah akta perniagaan.

“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 117 tindakan kes diambil terhadap peniaga terlibat dengan nilai rampasan berjumlah RM2,075 manakala 106 kes lagi dikompaun berjumlah RM11,400,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, kesalahan yang dilakukan itu membabitkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Bekalan 1961, Akta Sewa Beli 1967, Akta Cap Dagang 2019. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN