PETALING JAYA: Persatuan Pendidikan Diversiti Malaysia (AOD Malaysia) menyifatkan kira-kira 50 peratus daripada 2,441 rakyat negara ini berdepan pengalaman diskriminasi dalam sistem pendidikan.
Berdasarkan tinjauannya menerusi kempen Sekolah Semua, 36 peratus daripada jumlah itu mengalami diskriminasi secara lisan, 21 peratus mengalami gangguan buli dan 18 peratus dinafikan akses kepada peluang berikutan identiti mereka.
“59 peratus responden daripada kumpulan umur 18-30 tahun mencatatkan pengalaman diskriminasi, 45 peratus daripada kumpulan umur 31-45 tahun, dan 43 peratus daripada kumpulan umur 46 tahun.
“Responden India melaporkan kadar tertinggi dalam diskriminasi lisan iaitu 54 peratus dan dinafikan akses peluang kerana identiti iaitu 40 peratus berbanding dengan kumpulan kaum lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Sekolah Semua adalah kempen yang dikendalikan oleh sukarelawan AOD Malaysia yang bertujuan untuk memerangi diskriminasi dalam pendidikan berdasarkan identiti yang meliputi pelbagai identiti seperti bangsa, agama, jantina, bahasa dan kelas sosio-ekonomi.
Tinjauan oleh Sekolah Semua itu merupakan inisiatif untuk memerangi diskriminasi berdasarkan identiti di sekolah dan dilakukan menggunakan panel dalam talian Vase.ai.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 54 peratus daripada responden itu juga menganggap mereka yang mengalami diskriminasi di sekolah tidak perlu melaporkannya kepada guru, pentadb, ibu bapa atau polis.
Malah 61 peratus daripada mereka tidak memikirkan melaporkan itu berkemungkinan menyebabkan perbezaan sekaligus menjadi alasan mereka untuk tidak melaporkan diskriminasi itu.
Bagaimanapun, 48 peratus responden yang melaporkan pengalaman mereka mengenai diskriminasi kepada pihak berkuasa menyatakan bahawa tidak ada siasatan atau tindakan yang diambil.
Dalam pada itu, Pengasas bersama AOD Malaysia, Jason Wee berkata, semua pihak mengetahui bahawa secara anekdotnya, rakyat negara ini menghadapi pengalaman negatif dan berbahaya di sekolah kerana bangsa, jantina dan identiti mereka yang lain.
“Dengan hasil tinjauan ini, kami berharap Malaysia sebagai sebuah negara dapat mula menghadapi masalah diskriminasi ini dengan lebih baik,” katanya. – UTUSAN