18 ibu mengandung maut akibat Covid-19 di Johor

18 ibu mengandung maut akibat Covid-19 di Johor

R. VIDYANANTHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor merekodkan sebanyak 18 kematian membabitkan golongan ibu mengandung akibat Covid-19 setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan dan akan memantau secara rapi golongan itu termasuk menggalakkan mereka mendapatkan vaksinasi.

“Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), jumlah ibu hamil di Johor yang menerima satu dos suntikan vaksin adalah seramai 30,000 orang, manakala seramai 9,177 lagi sudah lengkap dua dos,” katanya pada sesi penggulungan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram, Gan Peck Cheng menggesa kerajaan memudahkan proses pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan ibu mengandung dan menyusu di klinik kesihatan ketika menjalani pemeriksaan bulanan mereka.

Langkah itu katanya akan dapat melancarkan proses pemberian vaksin kepada golongan berkenaan selain mereka juga akan berasa lebih yakin dengan proses berkenaan.

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 (R-Naught) di Johor yang berada pada kadar 1.1 kelmarin harus diambil sebagai peringatan kerana ia masih berada pada kadar lebih tinggi berbanding 1.0 dan juga lebih tinggi daripada kadar peringkat kebangsaan.

Setakat 3 September lalu, kadar R-Naught peringkat kebangsaan yang direkodkan adalah 0.97.

Vidyananthan berkata, kadar R-naught itu bagaimanapun telah menurun berbanding yang direkodkan pada 1 Ogos lalu iaitu 1.14.

“Pergerakan bebas dalam komuniti serta ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca utama penularan, semua pihak berperanan mencegah penularan dengan menyampaikan maklumat betul kepada masyarakat agar dapat mengambil tindakan tepat dalam melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, terdapat permohonan untuk membuka tiga buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) swasta di daerah Johor Bahru.

“Selain itu, JKNJ juga sedang meneliti keperluan membuka PKRC Awam baharu di Zon Utara untuk menampung bilangan pesakit yang tinggi.

“Buat masa ini, terdapat tiga PKRC awam iaitu PKRC Stadium Tertutup Pasir Gudang; PKRC Olive B di Hospital Permai dan PKRC Sri Danga dengan jumlah keseluruhan katil sebanyak 2,156 katil selain PKRC Swasta iaitu PKRCS DB Kompleks yang berkapasiti 1,200 katil,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN