JOHOR BAHRU: Seorang wanita maut manakala dua yang lain termasuk seorang bayi perempuan berusia tiga bulan cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 19.2 Lebuhraya Senai-Desaru, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II, M. Haridass berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada pukul 2.25 petang.
Menurutnya, sehubungan itu seramai sembilan anggota berserta dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan jenis Nissan Almera dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Bandar Penawar terbabas melanggar pembahagi jalan.
“Kenderaan tersebut dinaiki tiga individu termasuk pemandu lelaki berusia 58 tahun, seorang wanita bukan warganegara berusia 41 tahun dan seorang bayi bukan warganegara.
“Wanita berkenaan ditemukan maut di lokasi kejadian, pemandu lelaki cedera di bahagian kepala dan tangan manakala bayi berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Haridass, kedua-dua mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis,” jelasnya sambil memberitahu operasi tersebut kemudian ditamatkan pada pukul 4.33 petang.










