[VIDEO] Mok Wan seksa ‘punggah’ air telaga setiap hari - Utusan Malaysia

[VIDEO] Mok Wan seksa ‘punggah’ air telaga setiap hari

ASIAH Awang termenung di hadapan paip air yang hanya mengeluarkan angin di rumahnya di Kampung Bakong, Pasir Mas, Kelantan. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: “Penat, tak ada air… Seksanya nak kena kara (menimba) air telaga.”

Itu antara keluhan wanita digelar Mok Wan dalam klip vi­deo yang tular dalam Facebook, baru-baru ini memaparkan kegigihan dia menimba air perigi sebelum membawanya sejauh 20 meter masuk ke rumah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mok Wan atau nama sebenarnya, Asiah Awang, 50, berkata, ‘aksi’ dia mengerah kudrat menimba dan memunggah baldi berisi air dari perigi untuk kegunaan harian bukan dibuat-buat.

KEADAAN Asiah Awang atau Mok Wan yang gigih menimba air perigi di Pasir Mas, Kelantan. – VIDEO/YATIMIN ABDULLAH

Sebaliknya, kata Asiah, rutin ‘perit’ itu terpaksa ditempuh keluarganya dan penduduk sekitar Kampung Bakong, Me­ranti, di sini hampir setiap hari kerana kawasan tersebut kerap berdepan gangguan bekalan air bersih.

Malah, katanya, gangguan itu semakin kronik ketika sam­butan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini menyebabkan dia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada perigi lama yang terletak di belakang rumah.

“Saya perlukan air lebih ba­nyak jika mahu cuci pakaian, jadi, terpaksalah saya berulang-alik acap kali bagi memunggah air dari perigi. Dengan kudrat kita orang perempuan, memang seksa, tetapi, mujurlah ada seorang anak lelaki membantu.

“Anak saya, Zul Irwan Hakimi Zakaria, 29, sebenarnya menghidap penyakit paru-paru, tetapi, dia kuatkan diri semata-mata tidak sanggup melihat ibunya bersusah payah setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Asiah memberitahu, gangguan bekalan air di Kampung Bakong bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak sekian lama sehingga dia sudah menjadikan aktiviti menimba dan memunggah air sebagai rutin wajib dua kali sehari.

“Sebelah petang, lepas Asar, saya akan mula memunggah untuk kegunaan pada waktu malam. Kemudian, pagi esok­nya, punggah air lagi untuk kegunaan tengah hari pula.

“Kami juga terpaksa berjaga lewat malam semata-mata untuk menadah air dari paip kerajaan (AKSB) kerana bekalan air biasanya pulih tengah malam. Kalau siang, boleh dengar de­ruan angin sahaja keluar dari kepala paip,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Adam, 64, mengakui berdepan masalah sama sejak sekian lama sehingga dia dan keluarganya terpaksa mencari pelbagai alternatif lain bagi mendapatkan bekalan air bersih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN