[VIDEO] Lebih 10 rumah di Kampung Sulup dilanda banjir kilat - Utusan Malaysia

[VIDEO] Lebih 10 rumah di Kampung Sulup dilanda banjir kilat

LEBIH 10 buah kediaman di Kampung Sulup, Teluk Kumbar, Pulau Pinang ditenggelami air sehingga paras lutut ekoran hujan lebat sejak tengah hari tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Lebih 10 buah kediaman di Kampung Sulup, Teluk Kumbar di sini ditenggelami air sehingga paras lutut ekoran hujan lebat sejak tengah hari tadi.

Rata-rata penduduk kini berada dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan tiada petanda air surut biarpun hujan renyai sekitar pukul 5 petang tadi.

Seorang penduduk, Zainul Md Isa, 60, berkata, penduduk bertungkus-lumus memindahkan perabot serta barangan elektrik ke tempat lebih tinggi kerana bimbang keadaan banjir boleh menjadi lebih buruk.

KEJADIAN banjir kilat di Kampung Sulup, Teluk Kumbar, Pulau Pinang sejak tengah hari tadi.

Menurutnya, air mula naik sekitar pukul 4.30 petang tadi berikutan hujan lebat tanpa henti dalam tempoh empat jam.

“Kami sedang bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berlaku. Air mula naik di pekarangan rumah hingga ke paras lutut.

“Masing-masing penduduk kini berada di dalam rumah dan menunggu bantuan sekiranya perlu dipindahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Noor Azli Bahari, 49, berkata, keadaan air di dalam rumahnya kini mencecah paras buku lali.

“Air masuk dengan cepat. Kami sudah jangka bencana banjir kilat akan berlaku apabila melihat keadaan hujan sepanjang hari.

“Biarpun ada ketikanya hujan reda tetapi keadaan air masih tidak berubah. Kami harap tidak berlaku banjir besar seperti sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa lokasi berhampiran seperti di Kampung Masjid dan Kampung Paya termasuk di Titi Teras, Sungai Burung, Simpang Ampat dan Taman Manggis di Balik Pulau turut dilaporkan dilanda banjir kilat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN