JOHOR BAHRU: Penutupan dan pemotongan bekalan elektrik terhadap premis-premis yang dipercayai terlibat dengan kegiatan judi dalam talian dalam operasi yang dijalankan polis dilakukan secara sah dengan mengikut undang-undang.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan dijalankan pihaknya mendapati terdapat premis berdaftar secara sah yang menjalankan kegiatan perjudian di dalam talian secara tersembunyi.
Katanya, antara premis tersebut ialah perniagaan menjual isian semula kredit telefon.
“Mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti judi, kalau mahu berniaga kena ikut undang-undang. Kalau nak berniaga, berniaga betul-betul, jangan di luar kedai top up tetapi di dalam tempat judi.
“Kita mengambil tindakan itu di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Kita akan minta kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik mana-mana kedai yang terlibat kegiatan ini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Pada 31 Ogos lalu, beberapa kedai di pekan Labis, Segamat diarahkan tutup dan dipotong bekalan elektrik selepas dikesan menjalankan kegiatan judi secara atas talian.
Peniaga berkenaan mendakwa, pihak polis tidak mempunyai bukti mereka melakukan kegiatan tersebut sebelum mengadu perkara terbabit kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Dr. S. Ramakrishnan.
Ramakrishnan yang juga Naib Pengerusi DAP Johor semalam mempertikai tindakan itu dan berharap bekalan elektrik disambung semula dan peniaga berkenaan dibenarkan berniaga seperti biasa. – UTUSAN ONLINE