Tiga gudang SPCT, bahagian darat Tanjung City Marina jadi produk pelancongan - Utusan Malaysia

Tiga gudang SPCT, bahagian darat Tanjung City Marina jadi produk pelancongan

LAKARAN artis mengenai pembangunan tiga buah gudang di SPCT dan bahagian darat Tanjung City Marina di Georgetown, Pulau Pinang yang akan dijadikan produk pelancongan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menandatangani perjanjian pajakan dengan MPDT Capital Bhd. untuk membangunkan tiga buah gudang di Terminal Pelayaran Swettenham Pier (SPCT) dan bahagian darat Tanjung City Marina di sini untuk dijadikan produk pelancongan.

Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng berkata, SPPP telah mempelawa syarikat-syarikat berkelayakan untuk membangunkan gudang-gudang lama berkenaan dan bahagian darat Tanjung City Marina melalui permintaan untuk cadangan (RFP) secara terbuka pada 16
November hingga 15 Mac lalu.

Jelasnya, pelbagai cadangan telah diterima daripada beberapa syarikat dan setelah melalui beberapa proses MPDT Capital Berhad merupakan syarikat yang diluluskan oleh Lembaga SPPP.

“MPDT Capital Berhad akan mengurus dan membangunkan gudang 5, 7 dan 8 serta bahagian darat Tanjung City Marina bagi tempoh 30 tahun dengan opsyen disambung selama 15 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan secara tertutup dan disaksikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Menurut Teik Cheng, dengan termeterainya perjanjian pajakan itu, gudang 5, 7 dan 8 serta bahagian darat Tanjung City Marina yang dipajak akan dibangunkan untuk melengkapi aktiviti melibatkan pelayaran di SPCT dan dijangka melibatkan pelaburan berjumlah RM120 juta sebagai kos keseluruhan pembangunan.

“Setelah pembangunan siap dan beroperasi, saya percaya kawasan ini akan menghidupkan lagi suasana di sekitar SPCT.

“Ia juga akan menjadi produk pelancongan yang penting dan menarik serta merangsang ekonomi Pulau Pinang,” katanya.

Teik Cheng berkata, SPPP memberi kepercayaan penuh kepada MPDT Capital Berhad bagi merealisasikan pembangunan di kawasan tersebut dengan mengambil kira kredibiliti dan pengalaman syarikat itu dalam melaksanakan projek-projek tempatan dan antarabangsa.

“MPDT Capital Berhad dijangka mengambil masa selama 18 sehingga 24 bulan untuk membangunkan projek ini,” katanya.

Beliau menambah, antara tarikan yang akan dibangunkan di kawasan seluas 24,945.67 meter persegi itu ialah e-sport arena, pelbagai restoran termasuk medan selera terbuka, restoran makanan segera berjenama, pelbagai fasiliti sukan dan hiburan, trek serta kemudahan rekreasi dan banyak lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN